Go to Bottom  

Jumaat, September 11, 2009

10 Malam Terakhir Bulan Ramadhan

Malam ini merupakan malam yang ke 22...Apakah persediaan kita untuk meniti malam-malam terakhir ini?

Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.

Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengan beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.

Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Bersama-samalah kita muhasabah diri...semoga Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas.

Read more...

Khamis, Julai 16, 2009

Kelebihan membaca Al-Quran


Minggu ini adalah minggu ke-25 sesi persekolahan 2009 dan saya merupakan salah seorang guru yang bertugas pada minggu ini...Pada hari Khamis diadakan Tazkirah dan guru agama yang dipertanggungjawabkan menyampaikan tazkirah tersebut. Justeru, saya menyampaikan tajuk yang berkaitan dengan murid yang saya ajar...kerana setiap hari ada kelas membaca Al-Quran...saya pun merasakan perlu dimotivasikan mereka supaya semangat dan ikhlas membaca Al-Quran.

Antara kelebihan membaca Al-Quran ialah:
1. Sabda nabi s. a. w yang bermaksud :
Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya (HR muttafaqqun ‘alaihi)

2. Sabda nabi s. a. w yang bermaksud :
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya(pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa alif laam miim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (HR Tarmizi)
3. Sabda nabi s. a. w yang bermaksud :

Orang yang membaca al-quran dan dia mahir dengannya bersama malaikat yang mulia dan orang yang taat. Sesiapa yang membaca al-Quran sedangkan dia tersekat-sekat padanya dan dia begitu susah atasnya maka baginya 2 pahala (pahala membaca dan pahala kesusahan). (HR Bukhari dan Muslim)

4. Abi Umamah al-Bahili telah berkata bahawa dia mendengar sabda Nabi s. a. w yang bermaksud :
Kamu hendaklah membaca al-Quran maka sesungguhnya ia akan datang pada hari qiamat sebagai syafaat bagi ahli-ahlinya (HR Muslim)

5. Sabda nabi s. a. w yang bermaksud :
Sesungguhnya sesiapa yang tidak terdapat pada kerongkongnya sesuatu daripada al-Quran(tidak membaca) maka ia seperti rumah yang usang (HR Tarmizi)

6. Dalam satu hadis Qudsi di mana sabda nabi s. a. w yang bermaksud :
Allah telah berfirman yang bermaksud :
Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiKu daripada meminta-minta kepadaKu maka Aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaKu itu. Dan kelebihan Kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas segala makhlukNya (HR Tarmizi)

7. Sabda nabi s. a. w yang bermaksud :
Tiada suatu kaum yang berhimpun di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) membaca kitab Allah (al-Quran) dan tadarrus antara mereka melainkan akan diturunkan ketenangan ke atas mereka, disirami ke atas mereka rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka pada sesiapa disisinya (HR Muslim)

8. Daripada Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir telah berkata :
Telah keluar Rasulullah s. a. w menemui kami di Suffah maka sabdanya : Siapakah di kalangan kamu yang suka keluar ke Buthan dan ‘Aqiq (nama 2 tempat di Madinah) di mana dia akan membawa pulang darinya 2 ekor unta yang sihat lagi gemuk tanpa berbuat dosa dan tidak pula memutuskan tali persaudaraan ?
Maka kami menjawab : Wahai Rasulullah! Kami semua menyukai perkara itu.
Sabdanya : Mengapakah seseorang daripadamu tidak keluar ke masjid untuk belajar atau membaca 2 ayat daripada kitab Allah (al-Quran) maka ia lebih baik daripada 2 ekor unta yang gemuk, tiga ekor, empat ekor di mana lebih baik baginya daripada empat dan daripada semua bilangan unta. (HR Muslim)

Marilah sama-sama kita bertadabbur agar kita diredhaiNYA.

Read more...

Jumaat, Julai 10, 2009

Masa Lapang sebelum sibuk...Kita Hanya Merancang...Allah yang menentukan..

Sebenarnya ia benar-benar memberi pengajaran kepada saya...Tapi kalau difikirkan sepanjang 2 minggu tempoh masa yang diberikan, bukannya saya tidak melakukan apa-apa...tapi tiap-tiap hari ada saja tugasan yang perlu dibereskan.

Pada 18 Jun 2009 saya diarahkan menghadiri Taklimat pelaporan Data j-QAF 2009 di SK Bukit Ridan...Ada tugasan baru disamping menyiapkan data tersebut iaitu peperiksaan Bahasa Arab bagi Tahun 4 & 5. Kebetulan pula guru yang mengajar Bahasa Arab telah berpindah...so, saya yang ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran tersebut dan secara tak langsung...kena uruskan peperiksaan itu.Hampir 2 minggu saya menghabiskan masa mentiapkan maklumat berkaitan markah Bahasa Arab...Kurang kemahiran, agak kekok juga.

Dalam kesibukan menyiapkan markah bahasa Arab...terima pula tugasan baru iaitu menyiapkan rekod khatam Al-Quran untuk Mesyuarat Kurikulum dan laporan bulanan..semuanya bercampur-campur.Saya cuba susun sebaik mungkin apa yang perlu diutamakan...memandangkan pelaporan perlu dihantar pada 10 Julai, saya bercadang untuk melengkapkan pada hari Isnin 6 Julai 2009...Demikianlah...manusia hanya mampu merancang...


Pagi Isnin tu..saya pergi sekolah macam biasa...Selesai perhimpunan saya masuk kelas seperti biasa dari jam 8.15 pagi dan kelas kedua jam 8.45-9.15. Selepas tu saya berkira-kira nak terus ke kantin untuk sarapan...Bertembung pula dengan GPK 1 yang asyik memerhati sebuah kereta menuju ke Bangunan j-QAF. Saya menegur: "Apa yang dilihat tu?" katanya ada sebuah kereta Proton Wira bewarna hijau gelap masuk dan ke Bangunan j-QAF. Saya mula meneka...Macam kereta suami saya ke? Katanya " Rasanya yelah...suami ani agaknya".Saya mula berdebar mengapa lah suami saya datang ke sekolah dan kenapa tak call je...sedangkan katanya nak ke Perlis pagi tu. Tanpa melengahkan masa saya terus ke Bilik j-QAF dan suami saya telah menyampaikan berita abang iparnya telah kembali Kerahmatullah jam 8.00 pagi dan mengajak saya pulang ke Kampung sekaligus membatalkan rancangan asalnya untuk ke Perlis bersama rakan..Saya tak tahu apa yang nak dibuat dan terus berjumpa Guru Besar untuk memohon cuti..Guru membenarkan saya bercuti selama 3 hari memandangkan perjalanan ke Kedah yang jauh mengambil masa kira-kira 11 jam dari Kuala Rompin.. Suami pula mengambil anak di rumah pengasuh dan saya terus pulang mengemaskan apa yang patut. kami bertolak pada jam 10.00 pagi dan sampai di sana pada jam 10.00 malam. Walaubagaimana pun kami hanya sempat berjumpa ahli keluarga sahaja...Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan di kalangan orang beriman...Amin.

Setelah 3 hari bercuti...pada hari Khamis selepas suami menamatkan kursusnya di Arau, Perlis..kami memulakan perjalanan ke Kuala Rompin untuk bertugas pada hari Jumaat..

Hari Jumaat merupakan hari terakhir untuk menghantar Data elaporan Jun 2009 ke PPD Rompin...kalut sakanlah...banyak lagi data yang belum diisi...Walaupun dalam kesibukan untuk pulang ke kampung, saya telah menyerahkan kepada rakan-rakan untuk menyiapkannya, namun dengan kesibukan P&P dan banyak urusan lain..data tersebut tidak dapat disiapkan...Justeru..selesai perhimpunan dan sarapan, saya terus memulakan tugasan..Alhamdulillah kelas juga tidak banyak..boleh beri tumpuan lebih...ada rasa penyesalan juga kerana saya tidak cekap dalam menguruskan kerja..Last minit begini lah jadinya..Selesai mengisi data kira-kira jam 4.00 petang...Satu kekalutan lagi untuk mengimport dan mengimport data..Namun demikian Ustaz Azizul telah mengambil alih tugas tersebut..Terima kasih Ustaz...Lega rasanya..Kalau nak harap sambung kat rumah susah sikit...INGAT!!Gunakan masa lapang Sebelum datang waktu sibuk...tapi...Bila lapang nya ye??

Read more...

Rabu, Julai 01, 2009

Aktiviti Bulan Jun

Dalam bulan jun ini.. tidak banyak aktiviti yang dibuat memandangkan kami sekeluarga kurang sihat. Kami dilanda demam namun demi anak-anak saya gagahi jua..


menemani suami bermesyuarat di Kuala Lumpur



membawa anak pulang ke kampung menziarahi nenek/datuk



mengunjungi Pantai Bernas Rompin sambil menikmati otak-otak original









membawa anak mengunjungi Rompin Fest sementara suami bertugas di but pameran





membawa anak ke Segamat melihat internal safari





menjalankan pemeriksaan perubatan (ujian darah) akibat demam yang panjang






Semoga pengalaman demam sekeluarga ini lebih menguatkan azam kami sekeluarga supaya lebih tabah dan bersedia menghadapi apa jua ujian.. InsyaAllah

Read more...

Jumaat, Mei 29, 2009

Sambutan Hari Guru 2009

Hari ini Sekolah Kebangsaan Leban Chondong, Kuala Rompin Pahang telah mengadakan sambutan Hari Guru 2009 dengan temanya " Guru Pembina Negara Bangsa"

Walaupun sambutannya agak lewat..ianya tetap meriah dengan pelbagai penghargaan dan ucapan yang diberikan oleh anak murid kepada para guru.

Pada jam 7.30 pagi: aktiviti sambutan bermula dengan nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu Guru Pembina Negara Bangsa, diteruskan dengan bacaan perutusan Hari guru yang dibacakan oleh GPK 1 dan GPK HEM. Aturcara seterusnya sukaneka..seronok. Antara permainannya ialah bowling ragbi...kelakar juga banyak kali baling pun susah nak mengena. Permainan kedua permainan bawalah daku...juga melucukan tetapi seronok...murid-murid meriah memberikan sokongan...Permainan ketiga ialah pinjam sekejap ek....semuanya seronok dan begitu meriah.

Selesai rehat aktiviti disambung dengan persembahan guru dan penyampaian hadiah...amat meriah dengan upacara pertukaran hadiah daripada guru-guru dan pemberian hadiah serta kad ucapan daripada murid...Sayu dan gembira...Hadiah yang diterima pada Hari Guru SKLC tahun ini. Terima kasih diucapkan.

Sebenarnya sebagai seorang guru juga amat menghargai ucapan dan penghargaan daripada murid dan ibu bapa..Bagi saya setiap ucapan yang diberikan amat dihargai...Terima kasih kepada semua.....

Satu lagi pengiktirafan kepada saya mewakili guru jQAF SKLC..kami telah menerima Anugerah Khas Panitia Terbaik 2009.Satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada kami...Terimakasih kepada semua yang memberikan sokongan...Syukran jazilan...



Read more...

Isnin, Mei 25, 2009

Rehat sekejap

Assalamualaikum...

Hampir seminggu blog ini tidak diperbaharui ...Bukan sibuk sangat sebenarnya tapi kadang-kadang tak sempat juga dengan kerja sekolah dan apa-apa ntah kerja yang tak menentu

Seminggu yang lepas sibuk dengan sukan sekolah, boleh dikatakan setiap hari pulang lewat petang..

Selesai sukan..bermula minggu peperiksaan...sibuk pula nak menyiapkan soalan periksa..merata bank soalan dicari...tapi nak mudahnya dengan ada kemudahan internet download je soalan yang menepati silibus...buat cover dan hantar riso....Syukran kepada sahabat yang meng'upload'kan soalan untuk perkongsian ilmu...


Selesai murid menjawab soalan..tugas guru pula menanda....selamat menjalankan tugas...

Read more...

Ahad, Mei 17, 2009

Selamat Hari Guru...Guru Pembina Negara Bangsa


terima kasih cikgu yang mengajarku membaca
terima kasih cikgu yang mengajarku menulis
terima kasih cikgu yang mengajarku melukis
terima kasih cikgu yang mengajarku mewarna
terima kasih cikgu yang mengajarku mengira
terima kasih guru yang mengajarku erti hidup
terima kasih guru yang mengajarku mengenal diri

terima kasih guru terawal – ibu dan ayah
terima kasih guru muqaddam
terima kasih guru tadika
terima kasih cikgu sekolah
terima kasih pensyarah
terima kasih guru sejati

jasamu akan tetap ku kenang hingga ke akhir hayat ini

Hari ini
aku juga bergelar guru
aku juga mempunyai harapan dan impian
ingin melihat anak didikku berjaya dan menjadi manusia berguna...

Selamat Hari Guru diucapkan khas:
Suami tercinta..Mohamad Rasidi b Ahmad sebagai Pensyarah di KK Rompin, Pahang
Guru-guruku tahun 1986-1991 di SK Keratong 8
Guru-guruku tahun 1992-1995 di SMA Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang
Guru-guruku tahun 1996-1997 di SMA Al-Attas, Pekan, Pahang
Guru-guruku tahun 1998-1999 di Kuliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang
Pensyarah -pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia
Kakak, abang Ipar dan sepupu yang bergelar guru
Rakan-rakan persekolahan yang bergelar guru
Rakan-rakan guru di SMA Al-Amin, Bangi
Rakan-rakan guru di SK Keratong 1
Rakan-rakan guru di SK Leban Chondong
Semua guru-guru Malaysia...

Terima kasih di ucapkan kepada anak didik dari SMA Al-Amin, rakan-rakan, saudara mara dan sesiapa sahaja yang mengucapkan Selamat Hari Guru kepadaku...
SEMOGA JASa GURU AKAN TERUS DIKENANG.....


Read more...

Selasa, Mei 12, 2009

Cara Mudah Belajar Jawi

Malam ini saya telah downloads beberapa siri cara mudah belajar jawi terutama bagi kanak-kanak yang baru nak mula belajar jawi..lebih-lebih lagi Fatin dan Farhan anakku...

Sebelum ni saya beli je CD kat kedai...tapi sekarang tak lagi...cuma search http://www.youtube.com/ dan taip apa tajuk yang dikehendaki...mudah sekali!

Ha...lepas ni bertambahlah koleksi bahan untuk P&p...almaklumlah saya memang mengajar kelas pemulihan jawi yang memerlukan banyak permainan dan nyanyian...kalau sekadar sebut huruf begitu sahaja memang mengambil masa yang lama...

Read more...

Jumaat, Mei 08, 2009

Selamat Hari Ibu...Ibuku yang tercinta...

Duhai Bonda

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun memberikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

Salam sayang dari anakmu buat ibuku...

Gambar kenangan bersama emak dan ayah pada hari Konvokesyen di UKM 2003

Read more...

Khamis, Mei 07, 2009

Apa yang dibuat hari ini?

Sebenarnya saya sendiri pun tidak tahu apa yang dilakukan hari ini. Apa yang pasti sepanjang hari dihabiskan dengan berehat...Maklumlah hari ni cuti..Tak mau fikir soal kerja..


Duduk termenung sambil memerhati gelagat adik yang asyik bermain tolocar di luar rumah...kakak pula rajin membaca alif ba ta sambil membunyikan al-Muallim Laptop yang dibeli oleh ayahnya ketika pergi ke KK Arau baru-baru ini...dan suami pula asyik dan tekun memasang "portable air cond" yang baru sampai...lega rasanya..sejuk dan nyaman! Terima kasih abang...

Read more...

Isnin, Mei 04, 2009

Hari Ini...Esok Bagaimana??

Seawal jam 6.40 pagi saya telah keluar dari rumah, menghantar anak ke rumah Umi dan terus ke sekolah untuk menyambung tanggungjawab mendidik anak bangsa setelah tiga hari bercuti.

CUTI memang suatu yang menyeronokkan...Rasanya tak nak fikir apa-apa tentang kerja, nak rehatkan fikiran bersama keluarga.

Bila tiba hari bekerja kisah nak rehat diketepikan...Setelah sampai je di sekolah, saya terus memulakan kerja yang menyusul dan menyusul. Kadang-kadang tak sempat nak siapkan kerja yang sedia ada, datang pula tugasan baru...tapi tak apa..Walau apa cara sekalipun saya akan cuba sedaya upaya menyiapkannya....

Kini dah masuk bulan Mei...sekali lagi saya menjalankan rutin bulanan menyiapkan rekod bacaan Al-Quran. Saya memang suka tugasan ini sebab nak tahu perkembangan murid yang di ajar. ..Minit Mesyuarat Panitia tak siap lagi..Banyak lagi kerja yang menunggu...Sijil Bulan Dakwah Kebangsaan dan Rekod bacaan Al-Quran individu...Bila lah semuanya nak siap? saya pun tak tahu...


Tika saya menaip post ni kakak dan adik dah tidur. Letih sangat agaknya main kat rumah Umi petang. Saya mengambil mereka lewat hari ni iaitu pada jam 6.20 ptg..lepas habis latihan sukan kat sekolah.Biasanya ayahnya yang ambil...Hari ni abang kena ke Ipoh pula sebab ada tugasan kat sana....

Read more...

Selasa, April 28, 2009

Rehatkan minda seketika...

Dah beberapa hari Ummu Fathan tak 'update'kan blog...mula-mula dulu rajin sangat kononnya...bukan apa, rasanya banyak perkara lain yang lebih utama diselesaikan terlebih dahulu.


Sejak hari Isnin (semalam) saya asyik mengadap laptop menyiapkan segala laporan dan minit mesyuarat untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kurikulum kali kedua pada hari Rabu (esok)..Di samping ada selingan dengan P&P, mesyuarat guru dan latihan sukan...hari ni pula selepas selesai tasmik, berkejar pula ke bank...kerja yang belum siap tak tahu bila nak sambung...gaya-gayanya kena berjaga malam nak siapkan...

Tengah mengarang post ni adik farhan pula meragam, tak tahu apa yang dia nak...baru bangun tidur kat rumah umi sebab saya ambil agak awal pada hari ni...selalunya ayahnya yang ambil...alang-alang saya ke bandar, terus je ambil...kakak dan adik tengah sedap tidur...apa lagi marah lah mereka bila di ganggu..jadilah meragam, semuanya tak kena.


Setakat ini dulu...nak gi layan adik sekejap...sayang nye kat dia...dah pandai meragam sekarang...bila tak layan pandai pula bangun dan datang dekat emaknya....ala adik sayang....

Read more...

Khamis, April 23, 2009

Duhai Ayah

Tak tahu bagaimana nak diungkapkan kerinduan anak-anakmu...Sepanjang malam adik tidak boleh tidur.Asal jaga dari tidur..sebutan ayah tidak lekang dari bibirnya...baju ayah menjadi bantal peluknya


Adik menangis sebab nak baju ayah untuk di bawa bersama waktu bermain di halaman rumah petang semalam



Dah dapat baju...apa lagi...terus berhenti menangis, pengubat rindulah katakan...





Wajah kakak yang sentiasa ceria.


Bagun dari tidur terus capai baju ayah untuk dibawa ke rumah umi





Sehinggakan pagi tadi, waktu nak hantar ke rumah umi dia nak bawa baju ayah bersama...mana boleh, baju ayah tak basuh lagi..untuk buat ubat kat adik


Waktu nak turun tangga...baju ayah masih di tangan...rindu kat ayahlah katakan...Walaupun pada asalnya emak dah simpan semula baju tu.
Setelah diminta dan dirayu sambil menangis, emak tiada pilihan, kena bagi juga ...adik ambil, peluk, cium sampai bawa ke dalam kereta...Mujur masa sampai ke rumah umi dia tak bawa baju tu sekali ...jadi emak terus biarkan baju tu dalam kereta sebab emak terus ke sekolah....santai-santai je....
Hari Ahad ni ayah nak ke Kota Bharu, Kelantan pula...Sabar ye anak-anak...ayah pergi kerana tugas...

Read more...

Selasa, April 21, 2009

Ragam Permataku II

Buat Tatapan ayah yang dikasihi.. yang sedang mesyuarat di Hotel Vistana, Kuala Lumpur...anak dan isteri merinduimu...

Lihatlah keletah anakmu ini...


Petang tadi saya mengambil kesempatan membawa Farhan ke klinik untuk suntikan tambahan 1 tahun 1/2..Mula-mula nak tunggu ayahnya balik pada hari Khamis, tetapi memandangkan dah terlalu lewat dari tarikh temujajanji sebenarnya...jadi pergi je sendirian dengan membawa kakak bersama.


Kebetulan pula klinik dah berbalik semula ke tempat asal di Kuala Rompin, sebelum ini menumpang sementara di Pejabat Kesihatan Kampung Kolam...agak kekok sedikit nak cari tempat parking dan sebagainya...Alhamdulillah semuanya dapat diatasi dengan baik



Sampai di ruangan menunggu...Farhan suka kepada kanak-kanak lain terutama dengan baby...Suka sangat dia...tapi tangan tetap memegang baju emaknya.



Semasa dalam bilik suntikan, jururawat yang nak suntik pula ada urusan dengan pembekal ubat untuk kanak-kanak...kami pun kena tungga hingga urusan selesai...Mula-mula mahu lah duduk atas riba, lama-lama nak main kat bawah juga...tengoklah...tak tahu apa yang diintai atas meja tu....






Ini ragam kakak yang sentiasa tersenyum...tenang sahaja dan pemujuk setia adiknya waktu menangis setelah menerima suntikan...ala adik sayang ...sikit je, nanti baik ye...ala dah..dah sayang , jangan menangis....

Catatan ini dibuat bila Fatin dan Farhan dah tidur, penat sangat agaknya, banyak bermain petang tadi. Jam 9.00 malam dah tidur lena..tinggallah emaknya sendirian...apalagi...banyak kerja tak siap ni..kena buat sungguh-sungguh!!

Read more...

Siapa yang nak menyumbang...

Seringkali pelbagai persoalan ditimbulkan..Mengapa sukar untuk kami warga pendidik mengkhatamkan murid membaca Al-Quran??Sehingga kini tiada jawapan yang tepat. Walaupun PPD da JPN telah mengarahkan murid tahun 5 walaupun masih tidak mengenal huruf sepenuhnya suruh je baca Al-Quran atas bimbingan guru satu persatu.
Kami ajukan semula persoalan tersebut kepada PPD dan JPN...kalau mereka khatam sekalipun tetapi bila disuruh baca mereka tak pandai membaca bagaimana??Jawapannya pembelajaran sepanjang hayat...

Namun demikian...kami bimbang..kelak warga guru yang akan dipersalahkan.

Salah siapa??

Di sini tiada siapa yang perlu dipersalahkan...

Tadi kami warga Guru Pendidikan Islam dan j-QAF telah membuat bancian berapa ramai murid yang tiada Al-Quran atau buku Iqra di rumah?Hampir 40% yang tiada dan memang bergantung sepenuhnya kepada sekolah...Jadi kalau tiada Al-Quran atau buku Iqra bagaimana mereka nak mengaji di rumah..Patutlah setiap hari bila tasmik di sekolah tiada perubahan..

Justeru itu kami cuba memohon sumbangan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang..Mudah-mudahan dimurahkan rezeki..Bukan untuk kami warga guru tetapi untuk anak-anak yang masih berjihad di Jalan Allah....


Read more...

Ahad, April 19, 2009

Penukaran template


Disebabkan masalah blog yang lambat, maka kami mengambil keputusan untuk menukar blog ini kepada template baru yang lebih pantas, inipun tak siap sepenuhnya lagi..




Template abg pun kena tukar jugak, abg punya blog lagi lambat ,cuma tak sempat kot sebab isnin besok abg kena pegi outstation..


ke vistana hotel, kl

..

tukar template ni.. kita kena masukkan balik segala html yang lama, tu yang leceh nih..

Read more...

Sabtu, April 11, 2009

Kasih sayang...penyejuk hati

Seharian bekerja memang terasa penat...ditambah dengan pelbagai isu yang mendatang...Di sekolah sentiasa sibuk bukan sahaja dengan tugasan mengajar tapi ditambah dengan rekod-rekod yang perlu diselesaikan...Murid j-QAF pada tahun ini telah berada di Tahun 5...Pelbagai persoalan diajukan oleh semua pihak...ibu bapa, pentadbir sekolah, PPD,JPN dan KPM...Mengapa dah naik tahun 5,ada lagi murid yang belum khatam Al-Quran?? ada lagi yang masih baca Iqra'...Siapa yang nak jawab?? tak lain tak bukan adalah insan yang bernama guru...Mereka tak kan menuding jari kepada ibu bapa atau pihak lain...Seringkali mesyuarat diadakan untuk menyelesaikan masalah ini, tapi tak selesai juga....Walaupun begitu ia mengajar erti ketabahan dan kesabaran!!

....Mana yang perlu diutamakan??

Pulang ke rumah...segala ,masalah yang dihadapi ditempat kerja hilang...bila melihat wajah ceria Farhan dan Fatin dan lebih-lebih lagi suami tersayang menyambut kepulangan...





Abang telah menyediakan aiskrim yang dibelinya untuk dimakan bersama anak-anak...Terimakasih abang!




Abang sentisa memberi layanan istimewa kepada isteri dan anak-anaknya...Terima kasih abang...Ayang, kakak dan adik mengharapkan usratussaidah yang dibina akan terus menyinari hidup kita InsyaAllah...

Read more...

Rabu, April 08, 2009

Ragam Permataku

Hari ini saya pulang ke rumah agak lewat kerana menyiapkan rekod bacaan Al-Quran dan perkara yang berkaitan dengan Program Khas Khatam Al-Quran Tahun 5 yang akan bermula pada 8 April hingga 24 Jun 2009


Kebetulan nak beli susu kakak, saya terus mengambil kakak dan adik di rumah Umi. Alhamdulillah kakak dah sembuh dari demamnya...lega rasa..bimbang juga, takut jadi macam adik yang demam malam beberapa bulan yang lepas...Tika itu ayahnya tak ada..kena bawa klinik sendirian pada waktu malam.

Selepas menjemput mereka dari rumah Umi saya terus membawa membawa mereka ke bandar...beli apa yang patut kat pasar tani (pulut udang dan laksa penang)..lepas tu terus ke Pasaraya Tunas Manja.

Adik biasa lah...kalau ke Tunas Manja...memang air Vitagen yang dimintanya...kakak pula 'bytes cadbury'...

selesai bayar dan setelah masuk ke dalam kereta, ini gelagat mereka...

sementara menunggu baki bayaran...


kakak dah tak sabar nak buka 'bytes cadbury'nya












masuk je dalam kereta...




sedapnya adik dan kakak minum air tu..
Ragam di rumah...

Adik sedang berusaha membuka bekas yang berisi keropok....nak makan ke?..Bukan emak tak nak bagi..tapi nak atur kat lantai je...jangan adik...makanan tu...


setiap kemahuannya mesti dituruti...tapi tak boleh diikutkan sangat...ini gayanya kalau apa yang dia nak tak dapat....


menangis memang kuat...setelah dipujuk okey lah...sedihnya emak tengok adik...kakak tak banyak ragam...buat je kerja sendiri...


Sekian dulu ragam permataku buat kali ini...anak penyeri hidup...Anugerah Allah yang paling berharga...Semoga anak-anak ini dapat dididik dan diasuh menjadi ANAK SOLEH dan SOLEHAH...INSYAALLAH...AMIN

Read more...

Isnin, April 06, 2009

Syukur Kehadrat ILahi

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya telah mempermudahkan segala urusan hambaNya....


Baru sekarang saya rasakan bagaimana abang melaluinya selama satu tahun setengah, setiap hari memandu kereta selama satu jam setengah pergi dan balik ke tempat kerja dari Kuarters Pendidikan Bandar Tun Abdul Razak ke Kolej Komuniti Rompin.


Suatu perjalanan yang jauh...110 KM...pergi dan 110 KM balik...penatnya...tapi Alhamdulillah abang tidak pernah merungut..cuma bersabar menanti jawapan permohonan pertukaran...

Pada mulanya saya fikir banyak kali juga nak ke SK Keratong 1...memandangkan ada urusan yang perlu diselesaikan segera...urusan pelantikan tak selesai lagi...abang pula pergi mesyuarat kat Sepang....tak tahu nak ajak siape buat teman....akhirnya ambil keputusan pergi seorang selepas tamat sekolah jam 1.30 ptg.Kebetulan hari ni tak ada mesyuarat mingguan, boleh lah bertolak awal sikit.. Ketika ini anak masih di rumah Umi.

Sampai di SK Keratong 1 kira-kira jam 3.00 petang terus buat urusan dengan Guru Besar...alang-alang dah sampai ke Keratong, saya teringat pula urusan dengan Agro Bank juga belum selesai...jadi setelah siap urusan di sekolah, saya bergegas pula ke Agro Bank Bandar Tun Razak...dirasakan masa begitu pantas berlalu...Alhamdulillah segala urusan dapat diselesaikan dengan segera...

Selesai semuanya teringat pula kepada sahabat yang baru mendapat cahaya mata...tak sedap pula rasnya kalau tak menziarahinya...jadi saya terus ke Kuarters KIP untuk melihat baby barunya...

Kira-kira jam 4.30 ptg saya bertolak pulang dari Keratong ke Kuala Rompin.....sepanjang perjalanan saya sentiasa bermuhasabah diri...bagaimana sabarnya abang selama setahun setengah...sedangkan saya sehari pun rasa...Allah saja yang mengetahui...sepanjang perjalanan hanya menghitung kilo meter...bila lah nak sampai....

Patut lah akhirnya abang mengambil keputusan untuk menyewa rumah di Kuala Rompin...dah tak tahan agaknya...dengan kos minyak yang mahal ketika itu dan risiko perjalanan..kalau siapa yang pernah datang ke Kuala Rompin melalui jalan Muadzam Shah...tentu dapat membayangkan bagaimana....

Alhamdulillah....dalam proses abang berurusan menyewa rumah...akhirnya segala permohonan pertukaran yang dibuat...diluluskan...dan akhirnya saya diarahkan bertukar tempat bertugas di SK Leban Chondong, Kuala Rompin...Syukur yang tidak terhingga...Kini abang tidak perlu berulang alik dalam jarak yang jauh dan saya sendiri pun hanya mengambil masa kira-kira 10 minit ke tempat kerja...Alhamdulillah....

Read more...

Ahad, April 05, 2009

Rindu Terubat Dengan Baju Ayah

Sejak 2 minggu kebelakangan ini ayah agak sibuk bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Setelah dua hari terlibat dengan Jawatankuasa Konvokesyen Kolej Komuniti Zon Timur, ayah diarahkan menghadiri Kursus PERASA di Genting View dan kemudiaannya menghadiri mesyuarat di Putrajaya selama 2 hari...

Kesimpulannya sepanjang minggu ayah tidak dapat bersama keluarga di Kuala Rompin

Anak dan isteri mana yang tak rindukan ayah...adik mula menunjukkan kerinduannya terutama apabila hari menjelang malam....

Kali ini bukan telefon pengubat rindu....tapi ayah dah tinggalkan baju yang dipakai sebelum menghadiri kursus PERASA di Genting View...Mula-mula emak rasa dengan baju itu tidak memberi kesan kepada adik untuk mengubat rindu adik. Tapi bila adik terus merengek memanggil ayah...emak mengambil baju tersebut dan adik terus memeluk dan menciumnya....dan adik tidur lena bersama baju itu


Ini gaya adik, memang susah nak tidur malam sedangkan kakak dah dibuai mimpi.






Read more...

Ahad, Mac 29, 2009

Farhan Rindukan Ayah

Kebiasaannya pada hari cuti kami sekeluarga akan berehat bersama dan tika itu lah akan bermain dengan anak-anak

Bersiar-siar di taman atau di Pantai...

Pada minggu ini lain pula suasananya...Pada hari minggu ayah ditugaskan sebagai Jawatankuasa Penyambut Tetamu VIP Majlis Konvokensyen Kolej Komuniti Zon Timur di Institut Aminudin Baki, Genting Highland. Memandangkan tempatnya agak jauh (lebih kurang 5 jam) dari Kuala Rompin...ayah telah bertolak pada pagi Sabtu lagi...ada raptai pada petang tu...

Pagi-pagi lagi adik dan kakak telah dihantar ke rumah umi...emak pula ada Kem Bestari Solat pada pagi Sabtu dari jam 8.00 -11.30 pagi.Adik dan kakak memang suka duduk di rumah umi...umi layan macam anak sendiri...Buktinya kalau cuti-cuti pun umi datang ke rumah...rindu pada adik dan kakak

Ni gambar masa cuti akhir tahun hari tu...umi bersama anaknya..Yuyu....


Ni gambar emak tengah kendalikan Kem Bestari Solat kepada murid Tahun 3 di sekolah pagi tadi....Bila ajar anak murid...sentiasa berazam nak ajar anak sendiri supaya jadi macam ini juga...

Berbalik kepada kisah adik Farhan rindukan ayah...

Bila pulang ke rumah...mula mencari-cari ayah...adik masuk ke setiap bilik..diambil baju ayah sambil mulut tidak henti-henti menyebut ayah...ayah dalam nada menangis.Puas juga emak dan kakak menenangkannya...Bila terpandang gambar ayah atau apa saja kepunyaan ayah...itu lah gayanya...

Ayah bersama adik waktu ayah Kursus di Cherating...hajatnya kali ini nak bawa keluarga..tapi tak boleh sebab emak bekerja pada hari Sabtu...Lain kali ye....

Tiba senja...adik tunggu di muka pintu...dengar je kereta lalu di depan rumah dia kata kereta ayah...adik baru boleh bercakap sikit-sikit..tapi boleh faham apa yang dia maksudkan.



Tak tahu apa cara nak pujuk, akhirnya emak ambil telefon dan call ayah...beri dia sendiri yang cakap dengan ayah...selesai...boleh tutup pintu.

Masa nak tidur malam...ayah masih belum pulang...nak tunggu ayah balik juga...lastnya kena telefon ayah beri dia cakap...dengar suara dan pesanan dari ayah...baru boleh tidur dengan selesa.

Tiba tengah malam...nak susu....mana ayah...biasanya ayah yang buat susu untuk adik dan kakak..kali ini emak yang buatkan...Alhamdulillah..syukur, adik dan kakak tak banyak hal pada malam tadi...kalau ada ayah macam-macam juga.

Bangun pagi agak awal...Jam 6.00 pagi dua beradik ini dah bangun masa emak nak menunaikan Solat Subuh...adik masih mencari ayah bila tengok kain pelekat dan kopiah ayah...ayah belum balik sayang...Petang nanti baru ayah balik..Adik dah mula menyebut ayah...ayah...dengan nada rindukan ayahnya..Puas pula nak pujuk...Lastnye...bunyi telefon...ayah yang call. Tanpa banyak cakap emak terus beri telefon pada adik...bagi dia dengar suara ayahnya...

Buat ayah...anak sentiasa merinduimu....Hasil didikan, perhatian dan kasih sayang ayah kepada anak-anak...Kakak dan adik...

Read more...

Gambar Kenangan

Gambar Kenangan

Rakan-rakan blog

Berita Keluarga

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP