10 Malam Terakhir Bulan Ramadhan
Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.
Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.
Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:
- Menghayati malam tersebut dengan ibadah
- Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
- Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Bersama-samalah kita muhasabah diri...semoga Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas.
0 ulasan:
Catat Ulasan