Go to Bottom  

Sabtu, Mac 21, 2009

Melentur buluh biar dari rebungnya

Kenapa "rebung"?Peribahasa rebung ini membawa maksud yang mendalam. Bak kata perpatah, kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya yang membawa maksud dalam membesarkan anak-anak perlu diasuh dan dididik sejak dari kecil lagi sebaiknya dari dalam kandungan lagi atau dalam bahasa Inggerisnya "it’s better to bend the willow when it is young".

Anak-anak perlu di ajar ilmu-ilmu Al-Quran sejak mereka kecil...kalau dah besar, susah la...Gambar kelas mengaji di KIP Bandar Tun Razak, (selepas solat Maghrib) masa mengajar di SK Keratong 1



walau pun ana mempunyai anak berusia 4 tahun dan 1 tahun 5 bulan, namun cabarannya turut dirasai, tambahan pula apabila mengajar kanak-kanak berusia 7 tahun di sekolah. Kadang-kadang terdetik dalam hati....bagaimana keadaan anakku bila besar nanti....Kita renungkan bersama..

Keseronokan dan suka duka membesarkan anak adalah pengalaman berharga bagi ibu bapa. Anak juga mendapat pengalaman awal mereka di rumah. Rumah adalah tempat perlindungan kita daripada hiruk-pikuk dunia luar. Ia adalah tempat ahli keluarga berehat dan menyegarkan semula fikiran dalam suasana selesa. Manusia akan lebih berkeyakinan untuk menghadapi dunia luar apabila mereka mempunyai asas keluarga mantap. Begitu juga bagi kanak-kanak, suasana keluarga memainkan fungsi penting terutama ketika mereka kecil dan pada zaman persekolahan.

Kanak-kanak berasa yakin untuk bergaul dengan kawan dan guru, bersemangat untuk belajar, bersukan dan sebagainya jika suasana di rumahnya stabil dan menyeronokkan. Setiap anak berhak untuk membesar dalam keluarga selesa serta mempunyai peraturan dan sistem. Jika rumah mempunyai peraturannya tersendiri setiap ahli keluarga tahu fungsi masing-masing dan mudah bekerjasama.

Pembabitan bapa sangat diperlukan untuk bersama-sama mendidik anak. Sebuah keluarga yang mendapat komitmen sepadu suami dan isteri adalah keluarga yang dapat membentuk perkembangan minda anak-anak. Persekitaran positif menghasilkan tindak balas positif, keluarga yang mementingkan semangat hormat-menghormati akan menghasilkan anak yang tahu menghormati guru, undang-undang sekolah dan kawan.

Dari kecil lagi anak perlu diajar menghargai harta-benda awam atau bersama. Ada kanak-kanak tidak menghargai harta sekolah, mereka memecah tingkap sekolah, merosakkan kerusi meja, menconteng meja, dinding dan membuat pelbagai vandalisme. Buku perpustakaan juga dirosakkan dan hilang. Adakah suasana didikan di rumah selama ini tidak menanam sikap menghargai harta benda awam?

Di sekolah kanak-kanak diberi pelbagai tanggungjawab sebagai seorang murid. Murid yang bersungguh-sungguh menyiapkan kerja rumah adalah mereka yang mempunyai sifat tanggungjawab. Ramai ibu bapa mengeluh betapa anak kurang sifat tanggungjawab. Anak yang bertanggungjawab adalah hasil daripada keluarga yang mengamalkan keseimbangan di antara disiplin dan kasih sayang. Mengajar tanggungjawab mesti bermula dari kecil, diajar secara semula jadi dengan memberi tugas yang sesuai dengan kebolehan mereka. Ada anak yang dianggap tidak bertanggungjawab oleh orang dewasa.

Di sekolah mereka pula tergolong dalam murid yang tidak berjaya, padahal hakikatnya mereka tidak dididik dengan betul di rumah sebelum memasuki sekolah. Misalnya seorang anak yang biasa hidup dalam suasana rumah yang berselerak akan terdidik dengan nilai bahawa kebersihan dan kekemasan tidak penting.

Bagaimanapun, apabila ke sekolah mereka mendapati kebersihan sangat dipentingkan, mereka perlu membuat keputusan untuk terus dengan nilai yang didapati di rumah atau berubah supaya sesuai dengan sekolah. Apa yang tidak mengubah nilainya akan tergolong dalam murid yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Suasana persekolahan hari ini penuh dengan persaingan, murid bersaing untuk dapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, 9A atau 10A untuk Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan seterusnya. Ibu bapa mungkin secara tidak sedar menggalakkan budaya bersaing ini. Adakah kejayaan itu betul-betul untuk kepentingan anak atau kebanggaan ibu bapa? Tekanan daripada ibu bapa boleh membebankan anak. Tanamkan suasana selesa untuk anak mencapai kejayaan mengikut kemampuan masing-masing.

Setiap anak adalah individu berbeza yang memiliki kelemahan dan keistimewaan tersendiri, hakikat inilah yang membuatkan setiap anak itu unik dan menarik. Salah satu tanggungjawab ibu bapa ialah mendidik anak mempunyai sikap yang betul terhadap disiplin dan orang yang menjaga disiplin. Anak yang dari kecil diajar menghormati disiplin dan memahami kesan positif disiplin akan menjadi seorang yang boleh menyesuaikan diri di sekolah. Sebaliknya anak yang lepas bebas dan tidak pernah berdisiplin di rumah akan berasa tidak selesa dan terkongkong. Dia juga akan menjadi marah. Perasaan ini memang wajar timbul. Mendidik menghormati disiplin ini tidak boleh ditangguh hingga anak masuk ke sekolah, ia terlalu lewat. Untuk mengelakkan anak menghadapi masalah, ibu bapa perlu menggariskan beberapa disiplin yang wajar dan mendidik menghormati orang yang berkuasa (dalam apa juga bentuk). Anak boleh dilatih sikap ini dengan cara positif, seterusnya mereka akan lebih bersedia untuk mematuhi rutin persekolahan dan tidak takut untuk ke sekolah.

Fungsi ibu bapa walaupun nampak berat dan memerlukan kesungguhan serta kesabaran, ia adalah suatu nikmat yang dapat memberi kepuasan. Kasih sayang di antara ibu bapa dan anak tidak ternilai harganya. Dalam membina suasana rumah yang disebutkan di atas janganlah lupa untuk bermesra dengan anak, tunjukkanlah kasih sayang kepada mereka sama ada melalui pelukan, kata-kata, senyuman, ciuman, geletek, bahkan apa-apa saja yang menunjukkan kasih sayang dan kemesraan. Ada ibu bapa yang menyesal mereka tidak menunjukkan mereka menyayangi anak hinggalah anak terjebak dengan pelbagai masalah dan lari dari rumah. Anak yang tidak cemerlang juga menyangka mereka tidak disayangi. Mereka perlu tahu bahawa ibu bapa tetap sayangkan mereka.

Apabila yakin terhadap kasih sayang ibu bapa mereka akan tingkatkan usaha. Komitmen ibu bapa besar nilainya di sisi Allah, salah satu harta peninggalan yang berterusan pahalanya ialah anak salih

0 ulasan:

Gambar Kenangan

Gambar Kenangan

Rakan-rakan blog

Berita Keluarga

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP